March 7, 2021

COVID-19 : Kerajaan wajar hadkan pembelian barang keperluan asas – Pakatan Harapan

18 Mac 2020 – Berhubung dengan isu pembelian secara panik (panic
buying)
yang sedang berlaku pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, Pakatan Harapan faham akan kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat Malaysia pada ketika ini.

“Pakatan Harapan berpandangan bahawa dalam keadaan sekarang ini, adalah wajar pihak Kerajaan mempertimbang menghadkan pembelian barang keperluan asas di pasaraya dan sebagainya untuk menjamin kuantiti mencukupi bagi semua yang memerlukan.” kata Majlis Setiausaha Pakatan Harapan di dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada hari ini.

Menurut Pakatan Harapan lagi, had pembelian sesuatu barangan boleh dikuatkuasakan oleh pihak kerajaan dengan cara memastikan pasaraya mengenakan had pembelian ataupun menguatkuasakan had pembelian dengan kuasa Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Tegas Pakatan Harapan lagi, demi menjamin keselamatan makanan bagi semua penduduk terutama pada waktu PKP ini Kerajaan Persekutuan digesa untuk tidak berlengah dan segera melaksana had pembelian barangan keperluan asas seperti yang dicadangkan.

Sejak kerajaan mengisytiharkan PKP tersebut, rakyat Malaysia terutamanya yang menetap di ibukota telah melakukan pembelian berlebihan walaupun kerajaan telah menjamin akan memastikan bekalan barangan keperluan asas adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan PKP . Pembelian berlebihan ini bukan sahaja menyebabkan orang lain tidak berpeluang mendapatkan barangan keperluan mereka sebaliknya juga menyusahkan para pembekal.