March 7, 2021

Status MITRA : Santhara perlu beri penjelasan – MBC

20 Mac 2020 – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) digesa agar tidak mengabaikan inisiatif kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menaik-taraf komuniti India melalui Malaysian India Transformation Unit (MITRA). Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan sekarang, Datuk Seri Santhara Kumar, yang juga merupakan Ahli Parlimen Segamat, turut digesa tampil memberikan penjelasan tentang status MITRA kepada masyarakat India kerana program tersebut merupakan inisiatif PH.

Menurut Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Minoriti (Minority Business Chamber-MBC), Mohd Zulkifli bin Abdul Fattah di dalam satu kenyataan media pada Jumaat, MITRA mempunyai potensi untuk mengeluarkan masyarakat India daripada kemelut kemiskinan, mengurangkan pengangguran dan jenayah dikalangan belia India melalui program-program mereka.

“Malangnya, kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan secara mengejut telah menimbulkan tanda tanya dikalangan masyarakat India tentang MITRA. Kerajaan Perikatan Nasional masih tidak memberikan maklumat yang jelas tentang status pembiayaan dan Kementerian yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan MITRA. Ini telah menimbulkan rasa keliru dikalangan pendaftar-pendaftar pembiayaan MITRA bagi tahun 2020.

MBC percaya bahawa selaku bekas ahli kerajaan Pakatan Harapan, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan sekarang, Datuk Seri Santhara Kumar, yang juga merupakan Ahli Parlimen Segamat, perlu tampil memberikan penjelasan tentang status MITRA kepada masyarakat India kerana program tersebut merupakan inisiatif Pakatan Harapan. Sebagai seorang daripada dua Menteri berbangsa India didalam kerajaan Perikatan Nasional, Datuk Seri Santhara Kumar tidak boleh berdiam diri dan perlu mengambil tanggungjawab terhadap kekeliruan ini. Tidak wajar perkara ini dipertanggungjawabkan keatas MIC kerana mereka tidak terlibat didalam kerajaan yang sebelum ini.” kata Zulkifli.

Tambah Zulkifli, keruntuhan kerajaan PH adalah berpunca daripada tindakan beberapa ahli parlimen daripada PH termasuk Datuk Seri Santhara Kumar yang keluar daripada blok kerajaan dan menyertai PN. Dengan situasi kerajaan PN yang hanya mempunyai dua orang Ahli Parlimen keturunan India didalam blok kerajaan, masyarakat India sekali lagi dibiarkan tertanya-tanya tentang masa depan mereka.

“MBC tidak berniat untuk mem-persoalkan motif Datuk Seri Santhara Kumar keluar dari Pakatan Harapan. Akan tetapi, beliau perlu menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin dan mengambil tindakan untuk menukar persepsi masyarakat.

Perlu diakui bahawa kedua-dua Ahli Parlimen yang dinyatakan tidak mempunyai hak untuk mengaku sebagai wakil masyarakat India, kerana kedua-dua mereka masih belum membuktikan sokongan masyarakat India yang mereka miliki. Tetapi, diantara mereka berdua, Datuk Seri Santhara Kumar perlu mengambil lebih tanggungjawab berbanding Datuk Seri M. Saravanan kerana beliau merupakan bekas ahli didalam kerajaan yang dilantik melalui proses demokratik.” tegas Zulkifli.

Kata beliau lagi, MBC berharap agar Datuk Seri Santhara Kumar akan bangkit, mula bersuara, dan mula membuktikan kepada masyarakat India bahawa suara dan rintihan mereka masih didengar dan semua tindakan untuk menaiktaraf status ekonomi dan sosial mereka akan diambil secepat mungkin.

“Menjelaskan status MITRA boleh jadi permulaan yang baik. Masyarakat India di Malaysia perlukan perhatian.”tambah Zulkifli.