March 7, 2021

SUA BERSATU: Siapa yang lantik Hamzah Zainuddin? – Tariq Ismail

25 Mac 2020 – Ahli Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tariq Ismail bin Mustafa melahirkan rasa terkejut setelah membaca satu surat yang dikeluarkan oleh parti bertarikh 23 hb Mac 2020 di mana surat itu ditandatangi oleh Hamzah Zainuddin sebagai Setiausaha Agung parti.

“Siapa yang melantik Hamzah Zainuddin? Bukankah Tun Dr Mahathir Mohamad , Pengerusi parti yang kini sah menang tanpa bertanding telah pada 20.03.2020 tidak bersetuju dengan perlantikkan Hamzah Zainuddin?” soal Tariq di dalam kenyataan media yang dikeluarkannya semalam.

Tariq juga merujuk kepada surat yang dikeluarkan oleh YAB Tun Dr Mahathir kepada Presiden PPBM iaitu YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 20 Mac 2020 lalu, di mana Tun telah merujuk kepada perlembagaan parti yang menyatakan perlantikan Setiausaha Agung parti mesti dirunding dahulu dengan Pengerusi Parti sebelum ianya menjadi sah.

Tariq juga mempersoalkan pendirian ahli -ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti tersebut yang lain berhubung isu ini.

“Mana dia ahli- ahli MPT yang lain? Mana dia ahli- ahli MPT yang lain? Kenapa senyap apabila Parti kita dirampas mereka-mereka yang ternyata rindukan zaman jahiliyah kleptokrat?” soal Tariq.

Pada 18 Mac 2020 Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin telah memberhentikan YB Datuk Wira Haji Marzuki bin Yahya daripada memegang jawatan Setiausaha Agung parti PPBM. Perkara ini telah mengundang pelbagai reaksi dari ahli parti termasuk Pengerusi PPBM Tun Dr. Mahathir yang telah mengutuskan surat kepada Muhyiddin mengatakan tindakan beliau tersebut adalah tidak sah.