March 7, 2021

COVID-19 : KPM disarankan pinda takwim persekolahan

6 April 2020 – Berdasarkan kepada tiga senario yang akan berlaku selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara umum, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berpendapat pihak KPM perlu merombak semula takwim persekolahan 2020-2021 dengan pengubahsuaian waktu cuti pada akhir tahun.

“Senario-senario tersebut adalah pertama, usaha untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19 masih belum dapat dipastikan berjaya 100% sebaik tempoh PKP tamat.

Kedua senario kesesakan jalan raya, pasar raya, pergerakan rentas daerah dan negeri serta penggunaan pengangkutan awam secara mendadak akan berlaku sebaik tempoh PKP tamat.

Ketiga sejauh mana penjarakkan sosial dapat dilakukan sebaiknya dalam kalangan anak murid dan guru-guru di sekolah apabila sesi persekolahan bermula.” jelas Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz di dalam kenyataan media semalam.

Tambah Faisal, ABIM turut mencadangkan agar KPM mengukuhkan program intervensi yang lebih bersistematik melalui platform “Google Classroom” dan membuka pusat internet alternatif (terkawal) seperti di sekolah untuk murid yang tiada kemudahan internet di rumah.

Dalam pada itu, ABIM juga menyarankan pihak kerajaan untuk memikirkan situasi kewangan golongan yang berkaitan yang turut terjejas hingga sesi persekolahan dibuka secara mutlak dan ini termasuklah golongan pengusaha bas sekolah, pengusaha sekolah dan Prasekolah swasta serta TASKA.

“Dalam menangani situasi ini, perlu diwujudkan keseimbangan yang murni antara memerangi wabak Covid-19 dan situasi kewangan pihak yang terlibat menerusi sistem sokongan yang baik demi kelangsungan kehidupan rakyat.” ujar Faisal.