March 7, 2021

PKP : Sudah sampai masanya mahasiswa dihantar pulang ke rumah – Syed Saddiq

(Sumber Foto Facebook Rasmi YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman)

10 April 2020 – Ahli Parlimen Muar, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berpendapat bahawa sudah tiba masanya untuk kerajaan memulakan misi menghantar pulang mahasiswa secara berperingkat di seluruh negara.

Menurut mantan Menteri Belia dan Sukan tersebut menerusi tulisan beliau di Facebook rasminya, sejak hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan oleh kerajaan, para mahasiswa telah diletakkan di kampus masing-masing dan banyak bantuan telah disalurkan dan adalah perkembangan yang baik kepada kebajikan pelajar.

“Kini, negara kita sudah hampir memasuki Fasa 3 Perintah Kawalan Pergerakan.

Saya percaya sudah tiba masanya untuk kerajaan memulakan misi menghantar pulang mahasiswa secara berperingkat di seluruh negara.

Saya pasti bahawa kerajaan boleh melaksanakan perkara ini. Proper screening and medical SOP have to be done before our students are allowed home.” ujar Syed Saddiq.

Tambah beliau bagi menjayakan misi ini pihak kerajaan turut perlu menyediakan pengangkutan khas untuk pelajar pulang tanpa mengakibatkan penularan kes COVID-19. Ini boleh dilakukan dengan bekerjasama dengan pihak IPT, syarikat-syarikat penerbangan dan juga syarikat-syarikat bas awam dan Ahli Parlimen (MP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga wajib bantu dalam misi ini.

“Perkara-perkara yang perlu dinilaikan oleh kerajaan adalah pertama, prioriti utama adalah isu kesihatan & keselamatan. Pelajar wajib melalui proper screening and prosedur kesihatan (yang ditetapkan) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dihantar pulang.

Kedua, misi pulang harus dilakukan secara berperingkat dengan pengangkutan khas, bukan kenderaan individu.” kata Syed Saddiq.

Bagi perkara yang ketiga, beliau mencadangkan agar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu mengemas kini dan memaklumkan status terkini dengan segera kepada pelajar dan ibu bapa tentang kebajikan dan prosedur pulang ke rumah.

“Maka, besarlah harapan saya agar pihak kerajaan dapat membantu mahasiswa tempatan kita untuk pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.” ujar Syed Saddiq.