March 7, 2021

Bantuan Khas Kewangan kepada Penjawat Awam

SELANGOR 15 Mei 2020 – Kerajaan Negeri Selangor pada semalam mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) berjumlah RM 1,000 setiap seorang kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah. Ia bagi menghargai jasa dan pengorbanan para penjawat awam dalam usaha menangani Covid-19, terutamanya kepada ‘frontliners’.

Merujuk kepada kenyataan Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari di halaman Facebook rasminya semalam, pegawai kerajaan yang layak menerima BKK adalah seperti berikut :

– Orang Besar Daerah

– Ahli Majlis di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)

– Pegawai Tetap, Sementara dan Pekerja Sambilan Harian (PSH)

– Pegawai yang dilantik secara Contract of Service (CoS) dan Contract for Service (CfS)

– Pegawai yang bercuti separuh gaji

– Pegawai yang bercuti bergaji penuh;

– Guru KAFA

– Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)

– Pegawai Perhubungan Perkampungan Kampung Baru dan Ketua Komuniti India

– Pegawai Commisioner of Building (COB) dan One Stop Centre (OSC) yang berkhidmat di PBT; dan

– Pegawai yang dibayar gaji melalui Sistem Gaji Berkomputer Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.

Dalam pada itu, menurut Amirudin pegawai yang tidak layak pula adalah pegawai yang bercuti tanpa gaji sepanjang tempoh 1 Januari 2020 hingga 31 Mei 2020, pegawai yang ditamatkan perkhidmatan demi kepentingan awam dalam tempoh 1 Januari 2020 hingga 31 Mei 2020 dan pegawai yang dikenakan hukuman tatatertib dalam tempoh 1 Januari 2020 hingga 31 Mei 2020.

Jelas beliau, bantuan khas tersebut berjumlah sebanyak RM 18.5 juta dan ia akan dibayar pada tarikh 9 hb Jun 2020.