March 7, 2021

Rasuah & Korupsi – Bahagian 2

  1. Umum mengetahui pendapatan dan rizab-rizab GLC-GLC dahulunya dirampok bagi kepentingan politik dalam memainkan politik wang.
  2. Sehinggakan caruman para pendeposit Tabung Haji pun yang dilabur di dalam projek-projek dan aset-aset kewangan lain, dianggap sebagai sumber kewangan politik yang “wajib dicarum” kepada Kerajaan.
  3. Sehinggakan pendapatan dari pelaburan dana YAPEIM pun dianggap sebagai sumber kewangan politik yang “wajib dicarum” kepada ahli-ahli politik.
  4. Peranan para pengerusi dan pengarah di dalam “mewajibkan caruman” ini, tidak boleh kita abaikan. Kerana tekanan dari para pengerusi, pengarah-pengarah dan pengurus-pengurus atasan ini yang menentukan samada “caruman” itu berbentuk rasuah dan/atau korupsi, atau sebaliknya.
  5. Mungkin rakyat tak sedar implikasi apabila sumber-sumber dan aset-aset GLC dirampok bagi tujuan politik.
  6. Di sini, ingin saya ingatkan, di waktu-waktu seperti wabak CoViD-19 dan resesi ekonomi sekarang ini, GLC-GLC memerlukan pendapatan dan rizab-rizab ini bagi terus menggajikan pekerja, menyumbanh pendapatan pencaum, melabur ke dalam IKS dan melestarikan ekonomi negara.
  7. Apabila GLC-GLC ini ketandusan sumber akibat dirampok Kerajaan Najib dan mendokong agenda politik “Scheme Of Things”, GLC-GLC ini tidak akan mampu mendokong hasrat rakyat di waktu terdesak.
  8. Sesungguhnya di dalam jangka panjang, perbuatan rasuah dan korupsi ini akan merosakkan kestabilan dan kelestarian ekonomi negara.
  9. Di sinilah peranan utama SPRM dan Akta SPRM 2009 sebenarnya. Sebagai badan berkecuali anti-rasuah dan anti-korupsi. Salahguna kuasa bagi menyalurkan sumber-sumber negara ke agenda politik dan peribadi ini yang sebenarnya perlu dipantau oleh pihak-pihak berkecuali.
  10. Malangnya SPRM kelihatan lebih berminat menyiasat kes kecurian dana yang sah yang juga kes polis, dari kes penyalahgunaan kuasa “Scheme Of Things”.
  11. Malangnya SPRM tanpa Latheefa Koya ini lebih berminat “menyalahguna” kuasa menyiasat ke atas pihak-pihak terpilih sahaja, tanpa layanan setimpal ke atas pihak-pihak lain yang termasuk di dalam “Scheme Of Things”.
  12. Mungkin konsep “berkecuali” ini harus diberi penekanan ke atas SPRM. Kerana tanpa badan-badan berkecuali yang berintegriti, sistem tadbir awam negara harus dikira seakan sistem tadbir awam rejim despotik negara Ketiga.
  13. Adakah ini halatuju Malaysia di dalam norma baru ini?

Tariq Ismail Bin Mustafa

Ahli no 0051
Majlis Pimpinan Tertinggi
Parti Pribumi Bersatu Malaysia