March 7, 2021

Jangan khianat kepercayaan rakyat – P Raidu Veraman

14 Jun 2020 – Kesemua wakil rakyat yang telah dipilih ketika Pilihanraya Umum ke 14 yang lalu digesa agar tidak ‘melompat’ parti. Ini disebabkan rakyat telah memilih mereka sebagai wakil kepada mereka di atas nama parti politik yang diwakili masing-masing, tegas P Raidu Veraman penasihat kepada NGO Malaysian Indian Voice (MIV).

Menurut Raidu di dalam kenyataan media hari ini, kesemua wakil rakyat tersebut diminta agar supaya berikrar untuk tidak melompat parti walaupun dengan apa jua alasan.

“Ini kerana Rakyat telah memilih kamu sebagai wakil mereka atas nama parti untuk mempertahankan dasar-dasar ataupun menifesto yang dikemukakan oleh parti masing-masing. Justeru, janganlah memperbodohkan dan memperkudakan pengundi dan penyokong yang ikhlas dengan kerakusan dahaga politik masing-masing.

Kamu sebagai wakil rakyat yang dipilih atas dasar kemampuan dan kewibawaan parti dan bukannya atas dasar kapasiti individu. Kamu telah menggunakan lambang dan prinsip parti sebagai simbol kemenangan kamu. Namun, nama dan pangkat yang kamu perolehi adalah hasil sedekah yang diberikan oleh rakyat demi mempertahankan mandat rakyat dan negara tetapi kamu telah mengkhianati kepercayaan yang telah diberikan oleh mereka. Yang berhormat, tolong sedar diri. Tanpa parti, kamu adalah seumpama seseorang tanpa rumah untuk diduduki. Setelah seseorang itu membantu untuk kamu dengan memberikan tempat tinggal dan makanan, janganlah kamu membakar rumah itu untuk gila kuasa kamu. Ini adalah derhaka. Belajarlah untuk mengenang budi seseorang.” tegas Raidu.

Beliau turut mencadangkan kepada semua pemimpin yang telah dan ingin melompat parti demi ketagihan kuasa dan jawatan, sila langkah ke hadapan tanpa jawatan yang telah diberikan oleh parti dan rakyat iaitu “ Yang Berhormat”.

“Sekiranya puak-puak ini yang ingin melompat parti, diminta mereka ini untuk meletak jawatan yang dipegang iaitu sebagai Adun atau Ahli Parlimen yang telah dihadiahkan oleh rakyat diatas simbol parti perjuangannya. Apabila kamu melompat parti dengan alasan yang tidak masuk akal dan tidak munasabah kononnya memperjuangkan keadilan dan sebagainya untuk rakyat, pengundi kawasan dan rakyat benci muka kamu dan implikasinya juga kepada pemimpin dan parti yang selama ini memperjuangkan keadilan untuk semua.

Sekali lagi, saya memohon kepada semua pengkhianat- pengkhianat rakyat dan parti, tolonglah kosongkan kerusi atau jawatan yang diberi oleh parti untuk perjuangan dasar parti iaitu menegakkan keadilan dan memenuhi mandat rakyat. Bertandinglah kamu semua atas dasar kapasiti masing-masing atau parti baru kamu. Sedarlah diri tuan-tuan dan puan-puan. Cerminkan muka kamu dan pasti kamu akan rasa malu diatas tindakan yang telah kamu lakukan demi kepentingan diri sendiri.” ujar Raidu lagi.

Semalam media melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Dr Daroyah Alwi mengumumkan keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan meletakkan kesemua jawatan dalam parti itu. Beliau turut mengumumkan bahawa beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik dan dan hanya bertindak sebagai wakil rakyat bebas yang ‘mesra’ Perikatan Nasional (PN).

Jesteru, Pengerusi PKR Selangor Amirudin Shari menggesa Dr Daroyah Alwi untuk mengosongkan kerusi DUN Sementa yang disandangnya. Amirudin yang juga merupakan Menteri Besar Selangor itu turut mendakwa tindakan Dr Daroyah Alwi tersebut merupakan satu bentuk pengkhianatan kepada rakyat yang telah memberi mandat jelas kepada Pakatan Harapan untuk mentadbir Negeri Selangor melalui Pilihanraya Umum Ke-14 yang lepas.