January 18, 2021

Pemimpin yang melampaui batas akan membawa bala bencana – Tariq Ismail

18 Jun 2020 – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tariq Ismail bin Mustafa mengalu-alukan berita yang sedang tular di media sosial iaitu Dato’ Seri Azmin Ali sedang menubuhkan sebuah parti politik baru. Ini seolah-olah menunjukkan bahawa Azmin dan 10 ahli Parlimen yang merupakan bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak semestinya sehaluan dengan Bersatu.

Menurut Tariq, situasi ini menggambarkan bahawa jumlah sokongan yang didakwa diterima oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seterusnya digambarkan kepada Yang Di Pertua Agong pada 28 Februari 2020 yang lepas, boleh dipersoalkan kesahihannya.

“Ini menguatkan lagi dakwaan berdasarkan beberapa rakaman yang tular di media sosial bahawa perancangan “scheme of things” tidak terbendung dari mencapai cita-cita kekal berkuasa . Tiada batasan bagi mereka dalam perjuangan mereka untuk menjadi Kerajaan Melayu Islam yang kononnya membela nasib rakyat Malaysia.

Walhal, di dalam Islam, kekayaan bukan kayu ukur pemimpin yang baik. Hanya pemimpin Islam yang jujur dan tulus serta berintegriti yang mampu membawa manfaat kepada rakyat marhaen.” ujar Tariq di dalam kenyataan media yang dikeluarkan semalam.

Dalam pada itu, Tariq turut menambah bahawa Sejarah Islam sudah membuktikan bahawa pemimpin yang sanggup melampaui batas akan membawa bala bencana di mana pemimpin-pemimpin yang jujur tidak akan kejar kekayaan, dan lebih cenderung berkehidupan sederhana.

“Persoalannya sekarang, adakah “new normal” di bawah kerajaan kleptokrat 2.0 ini akan melibatkan helah dan tipu daya yang berterusan lantas akan membawa bala bencana kepada rakyat marhaen? Malangnya kebelakangan ini gerak langkah puak kerajaan ini tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda keinsafan.Apakah motif di sebalik ini?

Kebelakangan ini terdapat ura-ura mengatakan bahawa Menteri Kewangan mengeluarkan surat (kononnya perintah Jemaah Menteri) kepada beberapa Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC) dan agensi-agensi Kerajaan, termasuk Petronas, PNB dan KWSP bagi tujuan politik.

Saya harap ini hanyalah khabar angin semata-mata, dan tidak dibuat kerana terdesak atau tanpa melalui EGM bagi mendapatkan persetujuan pemegang saham dan mesyuarat lembaga pengarah.” kata Tariq.

Tariq turut mengingatkan bahawa dana di dalam Petronas, PNB dan KWSP adalah dana rakyat dan kerajaan tidak ada hak untuk menggunakan dana ini.

“Malangnya ini adalah norma baru kerajaan Perikatan Nasional, kembali kepada resam UMNO. Helah dan janji-janji manis diguna untuk mengaburi mata rakyat dari melihat hati budi mereka yang sebenar. Lantas, rakyat mengharapkan kepada pegar yang sebenarnya makan padi.” ujar Tariq.

Rata-rata kebanyakan rakyat negara ini terutamanya penyokong Pakatan Harapan mempersoalkan kewajaran pelantikan beberapa tokoh politik menerajui beberapa buah GLC. Ini termasuklah pelantikan Datuk Seri Mahdzir Khalid sebagai Pengerusi baru Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berkuatkuasa pada 12 Mei yang lepas yang dilihat adalah sebagai satu tindakan yang bermotifkan politik.