January 18, 2021

Kebebasan Media : DAP kecam tindakan ke atas Al Jazeera, Astro dan Unifi TV

5 Ogos 2020 – Parti Tindakan Demokratik (DAP) mengecam tindakan kerajaan terhadap Al Jazeera, Astro dan Unifi TV kerana menyiarkan dokumentari tentang migran semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana pihak Polis Di RFaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menyiasat Al-Jazeera di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurut Setiausaha Agung DAP YB Lim Guan Eng, tindakan sedemikian terhadap sebuah rangkaian berita antarabangsa akan mempunyai kesan yang buruk terhadap prinsip kebebasan akbar dan maklumat serta ke atas profesionalisme pengamal media. Beliau percaya demi mengelak daripada tindakan perundangan di masa depan, pengamal media akan terpaksa mengamalkan tapisan kendiri (self censorship).

“Keadaan ini sudah terbukti bukan setakat dalam media arus perdana bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, malah dalam media bahasa Cina. Sebelum pertukaran kerajaan persekutuan, media arus perdana bahasa Cina utama akan memberikan ruang liputan yang lebih besar kepada parti-parti pembangkang berbanding kerajaan PH. Namun, selepas kerajaan PN mengambil alih, keadaan menjadi terbalik. Malah, beberapa orang wartawan kanan mereka memainkan peranan yang aktif mendukung dasar-dasar PN.

Tindakan menindas oleh kerajaan menunjukkan bahawa PN tidak mempedulikan prinsip kebebasan akbar dan maklumat, dan mereka lebih berminat untuk membungkam suara alternatif bagi memaksa pematuhan dan mewujudkan iklim autoritarian yang tidak boleh menerima sebarang kritikan, waima pandangan yang bernas.” kata mantan Menteri Kewangan tersebut.

Mengulas lanjut, Lim mendakwa Kerajaan PN tidak memberi maklum balas kepada permintaan Al Jazeera untuk mendapatkan pandangan kerajaan, sebaliknya memilih untuk menghukum Al Jazeera, dan ini dilihat umum sebagai salahguna kuasa.

“Menteri Komunikasi dan Multimedia kini bagai sesumpah bertukar warna, apabila beliau secara terbuka menyokong tindakan menindas tersebut dan bukan kebebasan akbar dan maklumat.” sindir Lim.

Tambah Ahli Parlimen Bagan tersebut, demi kepentingan awam, kerajaan perlu menghentikan tindakan sedemikian serta merta jika PN betul-betul komited untuk mendukung demokrasi, akauntabiliti dan ketelusan.