January 18, 2021

Menteri Tidak Patuhi SOP Kuarantin : Laporan Polis dibuat

PETALING JAYA 19 Ogos 2020 – Satu laporan polis telah dibuat terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin bin Aman Razali berhubung dengan laporan media yang tular yang mendakwa bahawa Menteri tersebut telah melanggar tempoh kuarantin selama 14 hari yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kata Mohd Aslam Ahmad Ramli yang membuat laporan polis di Balai Polis Kelana Jaya semalam, dari laporan media menyatakan bahawa Ahli Parlimen Kuala Nerus itu telah berkunjung ke Turki pada 3 Julai 2020 lepas sehingga tarikh 7 Julai 2020 dan beliau sepatutnya perlu mematuhi tempoh kuarantin selama 14 hari. Namun Mohd Khairuddin telah menghadiri Sidang Parlimen pada 13 Julai dan ini terbukti melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Sebagai salah seorang yang pernah menjalankan “Swab Test” dan diarahkan untuk menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari walaupun keputusan negatif, adalah tidak adil jika beliau tidak dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

Sewaktu dalam tempoh awal kuarantin, ayah saya telah meninggal dunia di Kedah dan saya tidak dapat pulang menghadiri majlis pengebumian kerana menghormati dan mahu mematuhi serta mengambil serius arahan yang telah dikeluarkan pihak berkuasa” ujar Mohd Aslam yang juga merupakan ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP) itu.

Tambah beliau, berdasarkan kepada isu kluster Sivagangga di Kedah dan “makcik gelang pink” di Perak di mana mereka yang terlibat juga tidak mematuhi tempoh kuarantin 14 hari sehingga menyebabkan orang sekeliling terkesan, Menteri tersebut juga perlu dikenakan hukuman seperti mana-mana individu lain yang melanggar SOP yang telah ditetapkan.

“YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin telah menepis tuduhan ini dengan menyatakan bahawa Turki dalah negara berstatus “zon hijau” yang merupakan negara yang masih terkawal situasinya berkaitan COVID-19. Akan tetapi, beliau telah mengunjungi negara tersebut pada awal Julai di mana keadaan sewaktu itu menunjukkan jumlah kematian disebabkan COVID-19 mencecah lebih daripada 9,000 orang – lebih tinggi daripada angka terkini tempatan.

Perkembangan terkini mengenai kewujudan mutasi virus COVID-19 kepada strain virus yang lebih mudah berjangkit dikenali sebagai D614G dan lebih mudah tersebar melalui perebak utama atau “super spreader” di dalam negara juga amatlah membimbangkan. Di saat KKM masih menekankan akan pentingnya menjaga dan tidak mengambil ringan SOP yang telah ditetapkan, masih ada pihak yang merasakan mereka ini terkecuali dan bersikap mementingkan diri sendiri.

Strain virus D614G ini juga telah dikenal pasti semenjak awal Julai dan walaupun masih lagi berada di dalam peringkat pertama ujian, namun kewujudan dan kepantasan strain ini untuk merebak 10 kali ganda lebih pantas adalah membimbangkan” kata Mohd Aslam.

Ketika membuat laporan polis tersebut, Mohd Aslam turut ditemani oleh beberapa pemimpin politik tempatan termasuk ADUN Kampung Tunku YB Lim Yi Wei dan ADUN Dusun Tua, YB Edry Faizal.

Isu Menteri terlibat yang tidak mematuhi SOP kuarantin 14 hari tersebut, telah mendapat kecaman netizen dan juga beberapa pemimpin politik. Ia mula hangat diperkatakan apabila pada 18 Ogos lepas, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok semasa berucap di Dewan Rakyat, mendakwa Dr. Mohd Khairuddin melakukan pelanggaran SOP Covid-19 selepas melakukan lawatan ke Turki bulan lepas.