January 18, 2021

Projek KVDT2 : Armada dicabar desak TSMY “declassify” semua Memorandum Jemaah Menteri (MJM)

18 September 2020 – Ahli Parlimen Seremban Loke Siew Fook membidas kenyataan media Ketua Penerangan Pemuda PPBM (ARMADA Nasional), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir semalam yang menuntut penjelasan mantan Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengapa projek KVDT 2 dianugerahkan semula kepada syarikat DMIA-LTAT JV walaupun terdapat bantahan daripada pihak pengurusan KTMB dan kononnya RM1 billion lesap akibat keputusan tersebut.

Mantan Menteri Pengangkutan itu menyifatkan ARMADA tidak membuat “kerja rumah” sebelum memanggil sidang media kerana mereka langsung tidak memahami fakta-fakta yang asas dalam isu tersebut yang telah beliau perjelaskan berkali-kali beberapa minggu yang lalu selepas isu 101 projek diluluskan secara rundingan terus dibangkitkan di Parlimen.

“Untuk rekod dan berlaku adil kepada Guan Eng, saya ingin menegaskan bahawa Kementerian Kewangan dibawah pimpinan Lim Guan Eng secara konsisten menyarankan projek tersebut ditender semula dalam semua ulasan mereka kepada Jemaah Menteri.

Mungkin pihak ARMADA tidak memahami cara keputusan dibuat dalam Jemaah Menteri. Untuk makluman, keputusan Kabinet perlu dibuat secara kolektif selepas perbincangan dan perbahasan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.” tegas beliau.

Mengulas lanjut, Loke berkata bahawa dalam kes KVDT2, kertas pertimbangan tersebut dibentangkan oleh beliau selaku Menteri Pengangkutan pada ketika itu. Lalu Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan mencadangkan supaya projek tersebut ditender semula.

“Namun, majoriti Ahli Jemaah Menteri berpendapat bahawa projek tersebut patut dianugerahkan semula kepada DMIA-LTAT JV kerana beberapa faktor seperti pengurangan kos yang dipersetujui sebanyak 15%, risiko tindakan undang-undang oleh kontraktor terhadap kerajaan akibat pembatalan kontrak yang telah ditandatangani oleh kerajaan terdahulu, kepentingan LTAT dalam projek tersebut dan supaya projek tersebut boleh diteruskan tanpa kelewatan.

Antara menteri yang paling lantang menyokong projek tersebut dianugerahkan semula kepada DMIA-LTAT JV ialah seorang menteri dari PPBM yang masih duduk dalam Kabinet pada hari ini.” jelas Loke.

Justeru, Loke mencabar ARMADA supaya mendesak Perdana Menteri yang juga Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk “declassify” semua Memorandum Jemaah Menteri (MJM) berkenaan projek KVDT2 tersebut.

“Ini supaya semua fakta dan latarbelakang projek ini serta ulasan daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Hal-Ehwal Ekonomi dan Jabatan Peguam Negara boleh diketahui dan dinilai oleh orang awam.” ujarnya.

Semalam Ashraf Mustaqim telah mengadakan sidang media yang bertajuk PEMBONGKARAN ISU KVDT2 TERKAIT LIM GUAN ENG. Tindakan beliau telah mengundang kritikan dari pelbagai pihak dari Perikatan Harapan terutamanya dari kawan-kawan beliau sendiri yang pernah menyokongnya dahulu.

Sidang media tersebut boleh ditonton di Facebook Armada Bersatu Malaysia.