January 18, 2021

KEMUNGKINAN PAS DILANTIK KE DUN SABAH MEMBIMBANGKAN – JANNIE

Kota Kinabalu, 1 Oktober 2020 – ADUN Kapayan Jannie Lasimbang melahirkan rasa bimbang tentang kemungkinan PAS dilantik ke dalam DUN Sabah, lebih-lebih lagi sekiranya wakil PAS itu dilantik sebagai Menteri Kementerian Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri.

Jannie yang juga merupakan ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP (Majlis Hal Ehwal Anak Negeri) mendakwa PAS telah dengan jelas menunjukkan bahawa ia tidak terbuka kepada agama lain, terutama dengan pernyataan Ahli Parlimen Pasir Putih, Nik Muhammad Zawawi Salleh mengenai Alkitab yang dituduh terpesong dan sikapnya terhadap orang Kristian.

“PAS selalu mengambil pandangan ekstremis, dan akan memudaratkan semua agama, termasuk Muslim, Kristian, Buddha, Tao, Hindu atau kepercayaan orang asal.

Jika ahli PAS yang dilantik itu kemudian dilantik sebagai Menteri yang menjaga Hal Ehwal Anak Negeri di Sabah, orang asal Sabah akan diabaikan kerana PAS adalah parti ultra-Melayu yang tidak menegakkan atau menghormati pluraliti budaya.” tegas Jannie.

“Walaupun majoriti orang Dusun, Murut, Melayu Brunei dan Paitan mungkin memilih Gabungan Rakyat Sabah, mereka tidak harus dihukum dengan membiarkan PAS masuk ke DUN, dan memimpin Kementerian Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri seperti yang disangka oleh beberapa orang .” tambah Jannie.

Jannie juga mencabar pemimpin KDM dalam PBS dan Star yang sangat lantang dalam isu hak Sabah untuk membuat pendirian yang kuat terhadap cadangan pelantikan PAS di DUN. PBS dan Star selalu menolak jenis politik PAS, tetapi sekarang bila mereka berkuasa mengapa mereka diam.

“Tentunya mereka tahu bahawa rakyat Sabah menentang ini. Apakah kuasa dan kedudukan mereka yang baru dilahirkan lebih penting daripada kepentingan Sabah?” soal bekas pembantu menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri itu.