January 18, 2021

Isu “ABAH dan ROTAN” : Apakah hala tuju kita?

Politik negara ini semakin lama semakin pelik. Lucu pun ada. Kelam kabut pun ada. Yang pasti semakin menarik perhatian.

Yang terbaru adalah hashtag #MuhyiddinOut semakin trending di media sosial terutamanya di Twitter yang pada masa sekarang dimonopoli oleh penyokong Pakatan Harapan (PH). Hashtag tersebut mula menjadi trending selepas perutusan khas dari Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin petang semalam.

Apa yang memeranjatkan di dalam perutusan khas semalam adalah jenaka beliau iaitu beliau akan merotan sesiapa sahaja yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan selain memberitahu tiada dwi standard terhadap mana-mana individu yang melanggar arahan kuarantin. Justeru, netizen mengasak beliau melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri .Tambahan pula masih ramai tidak boleh menerima gelaran Muhyiddin sebagai ‘ABAH’ yang dipropaganda oleh unit komunikasi beliau sejak beliau menjadi Perdana Menteri Mac lepas.

Tun Mahathir seorang negarawan yang hebat pun sendiri tidak pernah menggelarkan diri beliau sebagai ABAH seperti yang dilakukan oleh Muhyiddin (walaupun dalam beberapa ucapan Muhyiddin mendakwa gelaran ABAH tersebut diberikan oleh rakyat terutamanya para penyokong Perikatan Nasional (PN), tetapi ramai tahu itu adalah datang dari pasukan komunikasi beliau sendiri. Siap keluar pelbagai poster untuk popularkan beliau sebagai ‘ABAH’). Dato’ Seri Anwar Ibrahim pun tidak. Apatah lagi arwah Tuan Guru Nik Aziz. Begitu juga dengan bekas Perdana Menteri yang sekarang memang popular dengan gelaran BOSSKU iaitu Dato’ Seri Najib Razak. Sesekali tertanya-tanya juga adakah Muhyiddin mempopularkan diri beliau sebagai ‘ABAH’ kerana hendak menenggelamkan BOSSKU ?

Yang membimbangkan sekali ke arah manakah propaganda ‘ABAH’ ini akan bawa kita rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum dan penganut pelbagai agama di masa sekarang dan juga ke masa hadapan? Kita mahu rakyat Malaysia semakin maju dari semua segi terutamanya dari segi pemikiran dan dikagumi di peringkat antarabangsa. Terutamanya golongan muda. Sebaliknya apa yang terjadi sekarang adalah usaha-usaha memperbodohkan rakyat terutamanya golongan muda. Terutamanya golongan muda yang berpendidikan rendah (maaf).

Pada zaman Pakatan Harapan (PH) memerintah, terdapat seorang Menteri yang sekarang di zaman PN juga masih menjadi Menteri iaitu Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof atau lebih dikenali sebagai Pak Wan. Di zaman PH, beliau sering dikritik kerana isu kereta terbang beliau. Tak apa lah, yang dikritik adalah isu.

Apa yang hendak disampaikan di sini adalah janganlah sebab terlalu teruja hendak meng”abah”kan diri sendiri , Pak Wan lagi nampak cerdik dari PM sendiri. Seperti kata ramai orang, kita perlukan Perdana Menteri bukannya seorang ‘ABAH’ tambahan pula gelaran “ABAH” itu diujudkan oleh diri sendiri demi populariti atau “syok sendiri”.

Persoalan yang besar sekarang adakah propaganda ABAH ini adalah bentuk pemujaan moden yang dihidangkan kepada rakyat supaya bodohkan rakyat?