January 18, 2021

Hamzah Zainuddin perlu lebih serius menambah baik kebajikan anggota polis – Hannah Yeoh

16 Oktober 2020 – Ahli Parlimen Segambut YB Hannah Yeoh pada hari ini mendesak agar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk lebih serius menambah baik kebajikan anggota polis berikutan dengan peningkatan kes di kalangan anggota polis dan komuniti disekeliling mereka.

“Saya merujuk kepada laporan The Malaysian Insight bertarikh 15 Oktober 2020 “263 polis, keluarga dijangkiti Covid-19, kata Bukit Aman.

Dengan peningkatan kes di kalangan anggota polis dan komuniti di sekeliling mereka, sudah tiba masanya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk lebih serius menambah baik kebajikan anggota polis. Ini termasuk memastikan bahawa tempat kerja dan kuarters perumahan mereka tidak sesak.

Bolehkah anggota polis kita mengamalkan SOP Covid-19 dengan mempraktikkan jarak sosial di tempat kerja mereka sekarang? Banyak balai polis dan kuarters perumahan mereka didapati kurang memuaskan.” desak Hannah yang juga merupakan mantan Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu.

Beliau turut mendesak Menteri Dalam Negeri supaya memastikan alat pelindung diri disediakan secukupnya termasuk alat pengimbas suhu, pelitup muka dan pembersih tangan untukanggota polis kita di tempat kerja mereka dan ketika mereka bertugas dimana-mana pusat bergerak.

“Melindungi barisan hadapan kita adalah komponen terpenting dalam memerangi Covid-19 ini. Oleh itu, Kerajaan harus meningkatkan usaha melindungi barisan hadapan kita yang setiap hari membahayakan nyawa mereka bagi memastikan kita semua selamat.” tegas Hannah.