January 18, 2021

PDRM perlukan Perlindungan Yang Munasabah – Anwar Ibrahim

17 Oktober 2020 – Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada hari ini menggesa agar pihak bertanggungjawab untuk memastikan pegawai-pegawai polis, warden-warden penjara dilengkapi dengan perlindungan kesihatan dan keselamatan yang mencukupi seperti pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan gogal untuk melindungi mereka dari ancaman wabak COVID-19.

Anwar yang merujuk kepada laporan dari portal The Malay Mail bertarikh 17 Oktober 2020, terdapat seramai 2688 pegawai telah dikuarantin akibat terdedah dengan wabak COVID-19. Menurut beliau situasi tersebut adalah peringatan kepada semua bahawa para anggota polis juga adalah pasukan barisan hadapan.

“Semasa pertemuan saya bersama pegawai-pegawai dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), saya kecewa dengan tantangan yang dihadapi mereka tatkala musim wabak.

Di bawah hujan dan panas, pasukan polis terus terdedah dengan ancaman virus, meski dilengkapi dengan pelitup muka N-95 berjam-jam lamanya. Berdasarkan maklumbalas dari beberapa pegawai yang memberitahu saya secara tertutup, masalah tersebut jauh lebih parah dan membimbangkan. Tatkala meningkatnya permintaan di kala PKPB, ditambah pula dengan pengendalian wabak yang buruk di Sabah, dan juga kegagalan pengurusan di Kementerian Dalam Negeri dalam menyediakan sut PPE kepada pegawai yang bertugas telah meletakkan mereka dalam zon yang berisiko tinggi. Tambahan pula, mereka hidup dengan risiko wabak yang mampu terjangkit kepada orang yang berada di sekeliling mereka dan ahli keluarga.” ujar Ahli Parlimen Port Dickson tersebut melalui satu kenyataan media yang dikongsi di Facebook Rasmi beliau.

Tambah Anwar, beliau bersimpati dengan nasib dan keadaan mereka kini. Beliau percaya sebuah kerajaan yang bertanggungjawab mesti tingkatkan usaha dalam memastikan perlindungan penuh dan munasabah diberikan kepada pasukan polis.

“Mereka tidak hanya mengawasi pintu-pintu masuk, malah bertanggungjawab terhadap keselamatan dalam negara.

Saya menggesa pihak bertanggungjawab untuk memastikan pegawai-pegawai polis, warden-warden penjara dilengkapi dengan perlindungan kesihatan dan keselamatan yang mencukupi seperti pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan gogal. Ini tidak hanya untuk melindungi mereka dari ancaman wabak, malah untuk rakan-rakan dan ahli keluarga juga, samada yang tua mahupun yang muda.”ujarnya.