January 18, 2021

Tindakan hadkan liputan media Parlimen tidak boleh diterima – Lim Kit Siang

18 Oktober 2020 – Ahli Parlimen Veteran DAP Iskandar Puteri YB Lim Kit Siang pada hari ini mendakwa tindakan menghadkan liputan media Parlimen kepada hanya 15 organisasi media bersifat sembarangan, mendiskriminasi, dan bertentangan dengan semangat reformasi Parlimen.

Merujuk kepada surat yang diedarkan oleh Setiausaha Bahagian Komunikasi Korperat Parlimen Malaysia pada tarikh 16 Oktober lepas, Lim menyifatkan tindakan tersebut sangatlah tidak boleh diterima, memandangkan 15 organisasi media ini bukan pun 15 badan media yang tertinggi, jika rakyat Malaysia diberikan peluang untuk memilih mereka.

Surat yang diedarkan oleh Setiausaha Bahagian Komunikasi Korperat Parlimen Malaysia pada tarikh 16 Oktober 2020

“Apa-apa pun, keputusan ini tidak sepatutnya dibuat oleh pihak pentadbiran Parlimen, tetapi sepatutnya diputuskan oleh Jawatankuasa Dewan Dewan Rakyat, yang diamanahkan dengan tanggungjawab “untuk menimbangkan dan menasihatkan Tuan Yang di-Pertua atas segala perkara berkaitan dengan kesenangan dan kemudahan serta khidmat-khidmat dan kenikmatan-kenikmatan yang terdapat bagi ahli-ahli Majlis” seperti yang tertakluk di dalam perkara 79(1) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Mengapakah Jawatankuasa Dewan Dewan Rakyat dikecualikan sama sekali daripada mempertimbangkan keputusan ini, seakan-akan liputan media di Parlimen ini bukanlah salah satu “kemudahan serta khidmat-khidmat yang terdapat bagi ahli-ahli Majlis”!

Walaupun wabak Covid-19 ini memang perlu diambil serius (dan jika benar wabak ini diambil serius, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi sudah tentunya telah dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mengingkari SOP kuarantin Covid-19 serta membahayakan nyawa dan kesihatan para menteri dan ahli-ahli Parlimen), adakah menyediakan ruang yang lebih besar di Parlimen, untuk membolehkan peraturan penjarakan fizikal dipatuhi, suatu perkara yang berada di luar kemampuan pihak Parlimen?” soal Lim.

Justeru, menurut beliau keputusan untuk menghadkan liputan media tersebut perlu disemak semula segera, dan dalam menyemak semula keputusan ini, Jawatankuasa Dewan serta wakil-wakil media haruslah diberi peluang untuk memberikan input serta cadangan mereka.

“Situasi semasa di mana semua Jawatankuasa-jawatankuas Dewan Rakyat berada dalam keadaan hibernasi dan tidak bersidang ini adalah satu skandal besar.” ujar beliau.

Pada 16 Oktober lepas, Setiausaha Bahagian Korporat Parlimen Malaysia telah mengedarkan satu surat yang menyatakan bahawa hanya 15 buah agensi-agensi media yang terpilih sahaja dibenarkan untuk membuat liputan sepanjang Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga, Parlimen keempat Belas dan Pembentangan Belanjawan 2021 berlangsung.

Alasan yang diberikan adalah ia selaras dengan usaha Kerajaan untuk mengekang penularan wabak COVID-19 dan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh MKN dan KKM serta bagi memastikan persidangan Parlimen dapat dilaksanakan dengan selamat.

Tindakan tersebut telah mendapat kritikan dari pelbagai pihak terutamanya dari pengamal-pengamal media online yang beroperasi di dalam negera juga dari luar negara. Turut mengkritik adalah Ahli Parlimen Lebah Pantai yang juga merupakan Pengarah Komunikasi PKR iaitu YB Fahmi Fadzil yang meminta Yang di-Pertua (YDP) Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun mempertimbang semula keputusan tersebut. Fahmi berkata, beliau risau jika  arahan tersebut bakal menimbulkan salah faham bahawa Parlimen Malaysia mengekang kebebasan media.